Archive for March 2013

Allah Bersama Adikmu, Kak...

7 Comments »

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ 
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakaatuh...


Waktu ana menulis tentang sakit itu kaffarah dosa, ana tak sangka pula Allah akan hadirkan seorang insan untuk meminta bantuan ana. Allahu Allah. Diri tidak merasa layak untuk berkata lebih, kerana ana hanya diduga dengan ujian yang begitu sedikit. Ana hanya diuji dengan sakit biasa saja andai nak dibanding dengan golongan yang sedang bertarung nyawa di luar sana, andai nak dibanding dengan mereka yang sudah pulang ke pangkuan Ilahi. Ana tak layak. Tak layak untuk berkata. Namun, andai untuk berkongsi pandangan, ana usahakan, demi seorang insan yang Allah pertemukan melalui post ana sebelum ini. 

Ujian sakit. Itulah antara tanda kasih Allah pada hambaNya. Bukan saja melalui nikmat, malah diselingkan dugaan, kerana sejujurnya, manusia lebih menghargai kemanisan setelah merasa pahitnya, lebih menghargai nikmat sihat setelah dihembus dengan dugaan sakit. Dan wahai hamba Allah, telusurilah firman Allah dalam surah Al-Baqarah...

Kerana itu ingatlah kamu kepadaKu nescaya Aku ingat kepadamu dan bersyukurlah kamu kepadaKu dan janganlah kamu mengingkariKu. [Al-Baqarah : 152]

" Dan sungguh akan Kami berikan ujian kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar. (Al Baqarah 2:155) "

Sedikit perkongsian... 

Seorang yang sangat ana sayang, sudah kembali ke rahmatullah. Saudara yang ana panggil dengan gelaran ibu Ani, yang sering menjaga ana masa kecil. Kebergantungannya pada Allah sangat mengagumkan. Arwah cukup mendamaikan di mata ana... Walaupun sakit, ibadahnya tetap dijaga. Entah bila ana tahu tentang bypass surgery ibu Ani, namun saat ana tahu akan realiti yang ibu Ani tanggung, ana menjadi lebih kagum dengannya yang begitu tabah, lebih lagi senyuman yang tak lekang di bibirnya, aura cerianya yang menyejukkan hati insan sekeliling. Hingga saat akhir, ana dikhabarkan doktor bahawa arwah menghembuskan nafas terakhirnya  pada waktu Subuh. Allah... Tatkala menaip, hati menjadi sebak. Terkenang Subuh itu, walaupun sudah lama berlalu, masih segar di minda. Berkejaran ke hospital, terkenang suaranya, senyuman terakhir pada hari sebelumnya... *tak dapat teruskan*

Setiap kesakitan itu, Allah penyembuhnya. Ubat dan rawatan itu ikhtiar, kebergantungan itu pada Allah. Andai Allah izinkan sembuh, nescaya akan sembuh juga. Bagi insan yang melihat, perit bukan? Namun ketahuilah, lebih perit yang menanggung. Bersabarlah... Sabar, ucapan yang mudah dituturkan, sukar dilaksanakan, namun begitu besar ganjarannya :') Redha atas ketentuan Ilahi. Berilah sokongan, setialah di sisinya. Salurkan kekuatan padanya melalui senyumanmu, meskipun begitu risau, sembunyikan dalam hati. Jadilah pendengarnya yang setia, saat duka dan tawanya. Khabarkan padanya bahawa sakit ini adalah sentuhan mahabbahNya... Pegang erat tangannya, niatkanlah moga Allah permudahkan segalanya. Tatap penuh kasih wajahnya, moga disebalik wajah yang tersenyum dalam kesakitan, akan terus teguh hatinya untuk redha atas suratan takdir. Zahirkan kekuatan agar insan yang menanggung turut terkesan dan terus kuat untuk menghadapi ujian dariNya. Inilah peranan kita, pemerhati sisi yang setia.


Kepada kakak insan tersebut yang tersayang, risau itu biasa. Bukankah saudara seagama, yang bersatu hatinya dalam tautan ukhuwah fillah, akan turut merasa sakit saudaranya? Andai dicubit paha kiri, paha kanan juga terasa sakitnya. Andai saudaramu sakit tenat, pasti sepanjang malam berjaga memikirkan saudaramu, tak betah rasanya hanya duduk termenung, pasti mahu dekat dengannya. Wahai kakak tersayang... Begitu sayang kamu pada adikmu... Doakanlah kesejahteraannya, kesembuhannya, moga Allah beri kekuatan pada adikmu... Allah sedang menguji ukhuwahmu, Allah sedang menghapus dosa kecilnya... Maka terus-menerus husnuzon pada Penciptamu.... Rahmatnya begitu luas tertebar di muka bumi ini... Moga Allah lindung kamu berdua... Innallaha ma'ana...

Allah bersama adikmu, kak...

Fi hifzillah :)


Biar Merangkak Asal Istiqamah

No Comments »

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ 
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakaatuh...


Berhijrah,
Tak siapa kata wajib berlari,
Merangkak perlahan sudah cukup baik.
Ada yang mulanya pecut habis,
akhirnya terhenti di tengah jalan.
Ada yang merangkak persis kura-kura,
tapi sampai juga ke akhirnya.
Hijrah, 
yang penting ke arah lebih baik.
yang penting berlanjutan hingga ke titik akhir.
Biar seribu kali terjatuh, 
jangan putus asa,
BANGKIT!

Sehari baca sepotong ayat,
permulaan yang baik,
dari terbiar kosong,
tanpa baca apa-apa.
Sehari satu muka surat Al-Quran,
sudah cukup molek,
asal faham makna.

Sehari satu status islamik,
ikhlas demi redha Ilahi,
comel dah,
dari kata-kata panjang berjela,
tapi isinya tiada.
Biar meniti perlahan titian hijrah,
moga istiqamah hingga ke hujung jalan.

Daku teringat pesan kakak di surau,
usai solat ringkas saja pesannya,
Moga istiqamah, dik.
Lalu ana angguk.
Menghadam.

Kunci hijrahmu.
ISTIQAMAH.

Ingat sayang.

Fi hifzillah sahabatku. 


Sakit Itu Kaffarah Dosa

7 Comments »

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ 
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakaatuh...


Masih di rumah. Masih berkira-kira bila mahu pulang ke hostel. Sengaja menangguhkan. Entah kenapa, rasa tak mahu pulang ke kolej, tak mahu juga berada di rumah. Rasa serba salah bila buat orang sekeliling risau. Jadi ana lebih gemar sendirian saja. Duduk terperap di bilik, walaupun tak dapat nak menipu orang sekeliling sebab batuk pun bergema juga dalam bilik melainkan bilik ana kalis bunyi. Allah, semoga Engkau permudahkan.

Pakej sakit datang lagi. Alhamdulillah. Baru baik dari pakej sebelum ini, hampir 3 minggu ambil masa nak pulih. Kini diuji badai kedua, second wave yang agak ekstrem dari sebelumnya. *senyum* Bila Allah uji, kita senyum :) Bila Allah tak uji, baru kita kena risau. Kerana sesungguhnya ujian itu mendekatkan kita kepada Allah, sedangkan nikmat itu kadangkala lebih menjarakkan kita dengan Allah. Takut kan? Terima kasih Ya Allah atas ujian yang begitu kecil ini, andai nak dibanding dengan insan lain yang terpaksa memikul beban yang lebih berat lagi. Syukur Alhamdulillah.

Mari kita ambil ibrah disebalik ujian kali ini. Nak kongsi sikit. Bila kita sakit, kalimah pertama terluncur dari bibir kita mesti 'ALLAH' kan? Hebatnya kuasa Allah. Bila hambaNya susah, tempat kembali dan mengadu hanya padaNya. Bila Allah bagi ujian, sebutlah Alhamdulillah, jangan asyik merungut saja, kerana Allah masih sudi ingatkan kita untuk ingat kepadaNya, Allah sedang memandangmu melalui ujian yang diberikan olehNya. *terharu* Bayangkan kalau Allah biar saja kita hanyut dalam nikmat, maka rugilah kita sebagai hamba kalau tidak diuji. Ujian hadir untuk meningkatkan keimanan seorang hamba, hamba yang melihat dari mata hatinya.

Maka kerana itulah Allah berfirman:
Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan; “Kami telah beriman,” sedangkan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya kami telah menguji orang-orang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta.”
(Al-Ankabut: 2-3)


Ini motivasi yang saya selalu cakap dekat sahabat bila sakit. Apabila hamba Allah itu diuji dengan kesakitan, Allah utuskan 4 malaikat untuk mencabut rezeki, kecantikan muka, selera makan dan dosa kecil. Tapi bila dah sihat, Allah arahkan malaikat untuk pulangkan semuanya kecuali dosa kecil. Sayang tak Allah pada hambaNya? *menangis*

Sedang asyik scroll di FB tiba-tiba terserempak dengan kata-kata ini.

Ingatlah! 

Dalam bahagia Allah menyisipkan duka. 
Agar kita tahu bahawa ada hikmah disebalik sekaan air mata. 

Dalam harap Allah menyelitkan resah. 
Agar kita sedar untuk mengiringi do’a dengan segenap pasrah. 

Dalam juang pun Allah meletakkan lelah. 
Agar kita ingat betapa mahalnya harga istiqamah. 

Memang Allah tidak menjanjikan bahawa langit itu tidak selalu biru, bunga tidak selalu mekar dan matahari tidak selalu bersinar. Tapi ketahuilah bahawa Allah selalu memberi... 

Pelangi di setiap Badai, 
Senyum di setiap Air Mata, 
Berkah di setiap Cubaan, 
dan Jawapan di setiap Do’a.

Fi hifzillah sahabat :)


Mari Ubat Hati

No Comments »

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakaatuh...


Pengisian di Teratak Coklat, memandangkan minggu ini temanya 3R (Repent, Regret, Return), semalam ditayangkan video Ini Kisahku : Wardina. Dan Dai' Adibah Rozain atau lebih mesra dengan panggilan Kak Dibah dalam kalangan kami, mengulas tentang pengajaran dari video tersebut.

Terselit tentang 5 ubat hati, macam dalam lagu Opick katanya.

Lalu saya terfikir... Hati manusia, andai tak dijaga, akan sakit juga. Mungkin tak terlihat oleh mata kasar, tapi diri sendiri merasai sakit itu, kekosongan itu. Kadangkala, kita tak sedar pun yang hati kita sedang sakit. Sakit kerana jauh dari Pencipta hati itu sendiri.

Mari kita telusuri satu-persatu ubat hati. 
  • Baca Al-Quran
Pernah tak alami situasi ini? Saat kita membaca Al-Quran tapi kita tak faham makna disebalik kalam suci Allah itu? Rasa sayu sangat. Rata-rata kita ini tidak memahami bahasa Arab, bahasa syurga. Sebab itu kita perlu sangat tadabbur makna melalui terjemahannya. Bertahun-tahun baca Al-Quran namun tak tahu apa yang terkandung disebalik nota cinta Allah, sama seperti mata yang celik tetapi buta hatinya. 

Ana pesan buat semua, termasuk diri ana, jalan untuk mendekatkan diri kepada Allah adalah dengan memahami dan menghayati pesan Allah melalui Al-Quran yang menjadi petunjuk di akhir zaman ini... Teringat pesan Rasulullah SAW sebelum baginda wafat, berpeganglah pada Al-Quran dan Sunnah... Moga-moga kita terpelihara dari fitnah dunia..

  • Zikrullah
Kunci ketenangan ialah dengan mengingati Allah. Meletakkan Allah yang pertama dalam hati kita. Dalam tangis dan tawa, Allah nombor satu di hati, bukan dunia. Buku kegemaran ana, Siapa Allah di Hatimu karya Ibnu Rijal benar-benar membuatkan diri sentiasa berbalik kepada Allah. Tepuk dada, buka pintu hati, mari check di mana kita meletakkan Allah di hati ini. Lazimi lidah dengan zikrullah, semoga Allah sentiasa dekat di hati hambaNya, Dia yang tidak pernah meninggalkan, mahupun hambaNya sendiri sering saja terlupa akan kewujudanNya. Siapa Allah di hatimu? Siapa pemilik hatimu? Fikirkan.

  •  Qiamullail
Ana pernah terbaca di satu lukisan dakwah. Kenapa kita sukar bangun tahajjud? Seorang lelaki menceritakan tentang dirinya.. Setiap kali sebelum tidur.. aku sudah berwudhuk.. aku tidur berlapikkan limbung kanan.. menghadap kiblat.. dan membaca ayat-ayat yang diajar oleh Baginda Nabi S.A.W. sebelum tidur.. dan aku berniat hendak bangun TAHAJJUD selepas aku tidur.. Tapi kenapa setiap kali aku bangun dari tidur, matahari sudah mula nampak? Imam Ahmad Bin Hanbal menjawab, "Yang membelitmu adalah dosa-dosamu." 

Tersentak. Kadangkala bila diri rasa liat sangat nak bangun, cuba tanamkan kisah ini dalam diri. Istighfar panjang... Adakah Allah tak terima taubat kita hingga dosa-dosa lalu masih ligat membelit? Allah.... Renungkan...

  • Banyakkan puasa 
Sejujurnya, bila puasa, rasa mudah tak untuk kita beribadah? Ana pernah buat eksperimen terhadap diri ana sendiri. Dan ana tak dapat nafikan, diri terasa ringan dan lebih khusyuk untuk beribadah bila berpuasa, atau setidaknya bila kita menjaga pemakanan kita daripada makan terlalu kenyang. Puasa mendekatkan diri pada Allah, Yang Maha Memberi Rezeki... Bila dalam keadaan lapar, kenanglah saudara seagama di negara lain yang tak cukup makan. Puasa membuat kita menginsafi diri yang jarang bersyukur.. Hati yang sakit, ubatnya kembali kepada Allah, dan dengan berpuasa, selangkah demi selangkah, kita mendekatiNya..

  • Mendampingi Orang Soleh
Rajinkanlah diri turun ke surau, menghadiri majlis ta'lim di masjid, supaya kita sentiasa dikelilingi orang-orang soleh. Bila kita berniat untuk berubah jadi baik, mesti Allah hadirkan insan-insan baik di sekeliling kita, bukan? Dan aura yang datang daripada golongan soleh ini mesti kita terkena tempiasnya... Nak ubat hati, niat saja tak mencukupi, usaha kena mengiringi, supaya terpelihara diri... InsyaAllah, bila mendampingi orang soleh, melihat wajah mereka saja mengingatkan kita akan Allah, apatah lagi bila berada bersama mereka, pastinya mereka akan sentiasa mengajak kita mencari redhaNya...

Moga-moga terubat hati kita ini.
Hati pinjaman Ilahi.

Selamat beramal.
Fi hifzillah :)

Penulis Skrip Kehidupan

No Comments »

 بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakaatuh...


Hari ini, kita duduk sebentar. Fikirkan.

Saki baki umur yang ada ini, apa yang Allah sudah aturkan buat kita. Adakah kita masih bernafas pada hari ini sekadar untuk bangun pagi dan teruskan kehidupan seperti biasa? Di mana kita berada sekarang? Mengapa Allah letakkan kita di situ? Bukan saja-saja Allah menulis di buku takdirmu. Bukankah Allah itu penulis skrip kehidupan yang terhebat?

Cuba bayangkan. Andai kita rasa aturan hidup kita ini sudah terlalu banyak yang dialami, sudah terlalu kenyang dihidangkan dengan ujian, sudah terlalu sesak dihentak dugaan, mari fikir sejenak berapa banyak nikmat Allah yang kita tak sedar? Dalam surah Ar-Rahman, “Maka nikmat Tuhanmu yang manakah yang kamu dustakan?”

Dan cuba kita renungkan. Kisah kehidupan manusia ini bermacam-macam, hebatnya penulis skrip ini. Sedangkan untuk menggarap kehidupan seorang insan saja pun belum tentu kita dapat lakukan, apatah lagi seluruh kehidupan di dunia ini. Allahu Allah.

Sesuatu untuk kita renungkan di hujung minggu. Jangan asyik leka saja dibuai rehat yang panjang, hingga dalam celik pun kita kadangkala terlena hatinya. Ingatkah dikau akan selendang hamba dan khalifah yang tersarung di bahu itu? Selamat berjuang wahai mujahid mujahidah, Allah bersamamu.

Be strong, fi hifzillah :)