Archive for May 2013

Menyiram Jiwa Dengan Ketenangan.

No Comments »

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakaatuh...



Saat ini ana tak mampu berbicara.
Ana cuba mencoretkan sesuatu.
Namun tak mampu.

Lalu terjumpa surat seorang kakak.
Yang ana terima sebelum cuti bermula.
Terletak kemas di meja belajar.

Menyiram jiwa dengan ketenangan.


"Bismillah....

Tika ini Allah masih memberi kesempatan... Menghirup lagi udara segar ciptaanNya... Adikku, sayang, dalam kembara menjadi solehah ini, ada banyak jiwa yang akan kita temui. Jiwa yang ketandusan, jiwa yang kehausan, jiwa yang penuh keimanan, jiwa yang yakin dengan janji Tuhan, jiwa yang melihat kehidupan dengan mata hati yang berkesan... Dan kita?

Dalam perjalanan ini kita bermula dengan titik sifar... Tidak punya rasa dalam jiwa. Lalu bertemankan bayang sekeliling yang punya pelbagai jiwa, maka dari situlah kita mula meneguk pelbagai jenis rasa, mula menyua jiwa dengan jalan mana, ada yang memilih meneguk jiwa ketandusan, kerna kononnya tiada cahaya Tuhan yang pernah singgah dalam diari kehidupan. Maka dalam siang pun, masih terasa pekatnya malam. Ada yang memilih meneguk jiwa yang kehausan kerna disisinya punya pelbagai rencam yang melorongkan ke arah itu. Ada pula insan yang memilih jiwa yang penuh rasa keimanan, kerna mereka insan yang melihat perjalanan kehidupan bukan semata-mata berakhir dengan keduniaan. Dalam jiwa mereka, ada Tuhan.. Tuhan.. Tuhan... mereka insan yang tak takut pada celaan dan sentiasa mencuba menambah ciri kesempurnaan, agar kelak bila ditoleh dalam lipatan kenangan, nama mereka tersenarai antara yang syahid di sisi Tuhan.. ALLAHUAKBAR! Hebatnya Tuhan! Mengajar dan menghantar manusia yang pelbagai untuk kita menilai dengan mata hati, jiwa mana yang harus disebatikan dengan diri.

Adik...
Akak bersyukur, mampu tersenyum lewat ini, mampu menangis penuh rasa kehambaan.. Kerna Allah masih sudi memberi walaupun banyak kali memaling dari pandangan cinta Ilahi... Allah masih meletakkan diri dalam lingkungan jiwa yang penuh keimanan... Agar kita tak terjebak rindu, pada maksiat yang tumbuh selalu...

Untuk yang tandus jiwanya? 
Tugas kita untuk beri mereka hak yang sepatutnya. 

Untuk jiwa yang kehausan jiwanya? 
Tugas kita untuk beri air keimanan pada mereka.

Dan... 
Untuk yang penuh keimanan jiwanya? 
Tugas kita untuk belajar sesuatu dari mereka. 

Tambah kekuatan diri dengan melihat pergantungan yang hebat oleh mereka, 
pergantungan hanya pada yang HAK! "

-Salam sayang-
-WMF @ MB-

Merindui kakak itu :')
Moga Allah pelihara.

Jom Kejar Ukhuwah Till Jannah

No Comments »

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ 
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakaatuh..

Ana ajak diri serta jiwa-jiwa yang membaca, untuk sama-sama selami erti ukhuwah yang sejati atas dasar Ilahi. Ukhuwah, bila mana acapkali meniti di bibir, “Moga ukhuwah hingga ke Jannah, sahabatku...” 

Ana jentik diri dahulu, sebelum kata-kata ini menjentik jiwa lain. Kerana ana jua tak terlepas dari ketidaksempurnaan, lahiriah manusia memang tidak sempurna. Kadangkala ada ‘rasa’ yang merenggangkan tali ukhuwah.. Kadangkala terbit ‘bisikan’ yang perlahan-lahan menjarakkan persahabatan.. 

Atas sebab apa ia berlaku? Atas dasar apa ia berlanjutan? 
Sentiasa semak puncanya. 

Mungkin ada hikmah Allah pinjamkan hati ini.. Yang tak betah bila mana konflik wujud dalam kalangan sahabat. Ana akan terasa tempiasnya dengan sangat hebat. Walaupun bibir mampu tersenyum, sepasang mata yang sentiasa memerhati akan mewujudkan rasa hiba dalam hati, bila mana cita-cita ukhuwah hingga ke syurga itu semakin kabur...

Hati yang ikhlas tertaut dalam ukhuwah Lillahi Ta’ala, akan merasa sakit bila sahabatnya sakit dan akan merasa gembira melihat sahabatnya bahagia. Sungguh. 

Ana pegang prinsip ini sampai bila-bila, di mana sabar itu besar ganjarannya dan kemaafan itu indah kemanisannya. Dalam persahabatan, sabar dan maaf adalah kunci. Di mana sabar mengekalkan hati untuk sentiasa husnuzon, sedangkan memberi dan memohon kemaafan itu bukanlah tandanya menuding jari dan menyalahkan, mahupun mengatakan “Ya, aku betul dan engkau salah”. Bersahabat itu, bila mana mohonlah kemaafan walaupun kadangkala kita tahu kita benar, atas dasar menjernihkan keadaan dan menyambung tali ukhuwah yang kian renggang... 

Ana selalu dipersoal kerana terlalu banyak memohon kemaafan, walaupun tiada sebab untuk ana mengatakan sedemikian. Itu kata mereka. Namun ana lebih mengetahui, Allah Maha Mengetahui, di mana khilafnya hati dan bicara yang kadangkala mengguris tanpa ana sedari. Maafkan ana ya, sahabat...

Saat ini, mari refleksi diri. Kita ini diciptakan tidak sempurna, kerana yang sempurna itu mutlak milik Ilahi. Mari muhasabah diri. Mari kejar ukhuwah hingga ke syurga. Mari jernihkan mana yang keruh. Andai mahu ukhuwah hingga ke syurga, masakan dibiar terhenti kembara kerana sedikit ujian yang menguji ukhuwah antara kamu di dunia? Tidak bukan.

Alhamdulillah, yang keruh semakin jernih,
Sungguh, syukur syukur syukur!
Bahagia melihat senyuman mereka :’)

Allahu Rabbi.. Kuatkanlah Kakakku.

1 Comment »

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ 
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakaatuh...



Sedang bertugas mengagihkan makanan untuk Kejohanan SUKOL 2013.
TIBA-TIBA....

Seorang hamba Allah muncul dari arah level kami...

"Kakak awak accident..... Awak tahu tak?"

Luruh jantung. Dalam hati terdetik "Allahu Rabbi, tidak kali ini. Kuatkanlah..."

Kaki pantas melangkah ke arah sumber berita yang baru ana dengar. 

"Awak ada dapat mesej tak?"

"Haaa?" *suara tersekat-sekat*

Fikiran ana blank. Buntu. 

Tangan laju membuka peti mesej.

"Dik.. Akak accident.. Tak ada apa pun.. Nak ke hospital klang.. Untuk x-ray. Kak irfa ada dengan akak ni. Settlekan makanan atlet ya..."

Senyum untuk menenangkan diri.

Sesaat kemudian.......
Air mata bergenang. Kemudian mengalir laju.
Jazakumullah khairan khatira pada insan-insan yang menenangkan.

Terkejut. Kenangan silam singgah di ingatan. Saat ana dikhabarkan dengan pemergian rakan ana melalui telefon. Lain rasanya. Mendengar khabar dari penyampai dan bukannya empunya diri, lain rasanya. Lebih mengejutkan, kerana ana tak dapat membayangkan situasi yang berlaku. Ini bukan kali pertama ana dihadapkan dengan berita-berita kemalangan yang menimpa insan tersayang. Sudah acapkali, malahan. Namun rasa terkejut itu masih sama. Tidak berkurangan walau sedikit pun.

Ada yang bertanya, kenapa ana menangis? Bukan serious pun accidentnya. Lumrah seorang pejuang.. InsyaAllah tak ada apa.. Bukanlah tangisan ini kerana tak redha dengan ketentuanNya. Sedangkan air mata inilah yang membuat ana redha, dan menguatkan diri agar mencari hikmah disebaliknya. Masa kakak ana tiba di kolej dari hospital, ana sengaja menangguhkan waktu, tak mampu untuk menatap wajahnya. Sungguh, deras saja air mata ini...

Malam itu.
Lampu dipadamkan. Gelap.
Tidak semena-menanya menangis dalam diam.
Tiba-tiba kakak ana kata, "Kenapa menangis ni.. Janganlah cengeng (kuat menangis)..." 


Dalam pekat malam, ana akan menangis lagi. Sayu sangat hati bila memikirkan. 
Lebih lagi bila ana cuba memejamkan mata ana.
Ada hutang tak terlunas lagi.
Hutang yang satu, yang ana mohon sangat diberi kesempatan.
Moga saat itu hadir pada masa yang tepat.


Ana paling tak boleh bila orang sebut perkataan "mati"

"Jangan risau.. Belum mati pun..."
"Jangan risau.. Masih hidup lagi..."
"Jangan risau.."

Ana lontarkan kembali dengan persoalan dengan hati yang sebak... "Adakah kena tunggu mati baru nak risau? Adakah kena tunggu mati baru mahu menangisi pemergian?" Kullu nafsin zaaiqatul maut... Setiap yang bernafas pasti akan mati. Namun jangan pernah memperlekehkan perkataan kematian sewenangnya. Kematian bukan pengakhiran, namun menghadapinya tidak semudah melafazkan kata. 

"Agak-agak kalau mati waktu tu, dikira mati syahid tak?"

Sayu. Terkedu.

Ya Allah, andai Engkau mentakdirkan mati, maka matikanlah kami sebagai para syuhadaMu Ya Allah.

Sungguh, Allah hadirkan ujianNya agar kita celik mata. 
Banyak hikmah disebalik semua ini.
Moga Allah pelihara kita semua.

Kakakku, be strong, stay strong :')

Tangan Penuh Cinta

No Comments »

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakaatuh...



Tangan itu... Tangan yang acapkali mengelus lembut wajahku tika dunia ku kenal buat kali pertama... Tangan itu jualah yang sentiasa memeluk erat tubuh kecilku tatkala umurku masih bayi... Allahu Rabbi... Tangan itu... Yang saat ini tiap detik masa, ku harap tangan itu masih gagah persis dirinya yang begitu mengasihi anak-anaknya, begitu tegar semangat berkorbannya, begitu tabah tangan itu menongkah arus dunia, asakan dusta di sekelilingnya. Tangan itu...

Andai dahulu tangan itu menyatakan cinta melalui sentuhan kasihnya, kini tangan itu ku kucup penuh syahdu hati yang merasa... Kerana tangan itu... Entah bila akhir detik waktu, yang tersia untuk ku kembali berbakti buat tangan itu... 

Selalu saja berikrar di jiwa, Allahu Allah, sempatkanlah diri untuk memimpin tangan itu sama-sama ke JannahMu, redhailah tautan kasih antara kami hingga kami bakal bertemu kembali di syurga, lapangkanlah hati ini untuk menerima perpisahan, untuk ku melepaskan tangan ini, mahupun melepaskan tangan itu penuh rela dan redha, andai saat maut terlebih dahulu menyapa, baik diri ini mahupun dirinya, kerana takdirMu penuh hikmahNya.

Alhamdulillah syukur Ya Allah, kerana mengurniakanku tangan itu di samping ku, di saat baru saja mengenal dunia, hingga detik ini ke arus dewasa. Ya Rahman, hambaMu semakin dewasa, dan tangan itu semakin tua Ya Allah. Maka peliharalah tangan itu, di saat dirinya dekat denganku mahupun di kejauhan. 

Kerana sungguh, tangan itu penuh cinta. 
Cinta yang tak terbatas 
melainkan setelah kalimah 
"لا اله الا الله محمد رسول الله " 

Merindui tangan itu Ya Allah, 
Merindui,
ibu ayahku :')



Jiwa Yang Terluka, Bersabarlah.

No Comments »

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakaatuh...


Panji-panji sudah berkibar
Menghias tiap ruang kuasa
Terpacak di medan jihad

Aku menjadi saksi
Akan bangkitnya jiwa muda
Tak gentar menghadap seterunya
Tak goyah melontar suara

Sadis.
Ironinya hakikat kehidupan
Saat yang benar ditolak tepi
Saat yang pincang dijulang tinggi

Pabila terbayang akhirat menanti
Mahu jawab apa pada Tuhanku?
Mahu beralasan apa pada Rasulku? 

Ya Rabbi, tetapkanlah kami di jalanMu.

Moga hingga ke akhir nafas ini
Moga hingga tertutupnya mata ini
KeranaMu, keranaMu


Ya Allah, Engkau mengetahui bahawa hati-hati ini telah berkumpul kerana mengasihiMu, bertemu untuk mematuhi perintahMu, bersatu memikul beban dakwahMu, hati ini telah mengikat janji setia untuk mendaulat dan menyokong syariatMu, maka eratkanlah Ya Allah akan ikatannya, kekalkanlah kemesraan antara hati-hati ini pada jalannya, penuhkanlah hati ini dengan cahaya RabbaniMu yang tidak kunjung malap, lapangkanlah hati ini dengan limpahan keimanan dan keindahan tawakal kepadaMu, hidup suburkanlah hati-hati ini dengan makrifahMu, jika Engkau mentakdirkan kematian maka matikanlah pemilik hati ini sebagai para syuhada dalam perjuangan agamaMu. Engkaulah sebaik-baik sandaran dan sebaik-baik penolong. Ya Allah, perkenankanlah permintaan ini.