Mari Ubat Hati

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakaatuh...


Pengisian di Teratak Coklat, memandangkan minggu ini temanya 3R (Repent, Regret, Return), semalam ditayangkan video Ini Kisahku : Wardina. Dan Dai' Adibah Rozain atau lebih mesra dengan panggilan Kak Dibah dalam kalangan kami, mengulas tentang pengajaran dari video tersebut.

Terselit tentang 5 ubat hati, macam dalam lagu Opick katanya.

Lalu saya terfikir... Hati manusia, andai tak dijaga, akan sakit juga. Mungkin tak terlihat oleh mata kasar, tapi diri sendiri merasai sakit itu, kekosongan itu. Kadangkala, kita tak sedar pun yang hati kita sedang sakit. Sakit kerana jauh dari Pencipta hati itu sendiri.

Mari kita telusuri satu-persatu ubat hati. 
  • Baca Al-Quran
Pernah tak alami situasi ini? Saat kita membaca Al-Quran tapi kita tak faham makna disebalik kalam suci Allah itu? Rasa sayu sangat. Rata-rata kita ini tidak memahami bahasa Arab, bahasa syurga. Sebab itu kita perlu sangat tadabbur makna melalui terjemahannya. Bertahun-tahun baca Al-Quran namun tak tahu apa yang terkandung disebalik nota cinta Allah, sama seperti mata yang celik tetapi buta hatinya. 

Ana pesan buat semua, termasuk diri ana, jalan untuk mendekatkan diri kepada Allah adalah dengan memahami dan menghayati pesan Allah melalui Al-Quran yang menjadi petunjuk di akhir zaman ini... Teringat pesan Rasulullah SAW sebelum baginda wafat, berpeganglah pada Al-Quran dan Sunnah... Moga-moga kita terpelihara dari fitnah dunia..

  • Zikrullah
Kunci ketenangan ialah dengan mengingati Allah. Meletakkan Allah yang pertama dalam hati kita. Dalam tangis dan tawa, Allah nombor satu di hati, bukan dunia. Buku kegemaran ana, Siapa Allah di Hatimu karya Ibnu Rijal benar-benar membuatkan diri sentiasa berbalik kepada Allah. Tepuk dada, buka pintu hati, mari check di mana kita meletakkan Allah di hati ini. Lazimi lidah dengan zikrullah, semoga Allah sentiasa dekat di hati hambaNya, Dia yang tidak pernah meninggalkan, mahupun hambaNya sendiri sering saja terlupa akan kewujudanNya. Siapa Allah di hatimu? Siapa pemilik hatimu? Fikirkan.

  •  Qiamullail
Ana pernah terbaca di satu lukisan dakwah. Kenapa kita sukar bangun tahajjud? Seorang lelaki menceritakan tentang dirinya.. Setiap kali sebelum tidur.. aku sudah berwudhuk.. aku tidur berlapikkan limbung kanan.. menghadap kiblat.. dan membaca ayat-ayat yang diajar oleh Baginda Nabi S.A.W. sebelum tidur.. dan aku berniat hendak bangun TAHAJJUD selepas aku tidur.. Tapi kenapa setiap kali aku bangun dari tidur, matahari sudah mula nampak? Imam Ahmad Bin Hanbal menjawab, "Yang membelitmu adalah dosa-dosamu." 

Tersentak. Kadangkala bila diri rasa liat sangat nak bangun, cuba tanamkan kisah ini dalam diri. Istighfar panjang... Adakah Allah tak terima taubat kita hingga dosa-dosa lalu masih ligat membelit? Allah.... Renungkan...

  • Banyakkan puasa 
Sejujurnya, bila puasa, rasa mudah tak untuk kita beribadah? Ana pernah buat eksperimen terhadap diri ana sendiri. Dan ana tak dapat nafikan, diri terasa ringan dan lebih khusyuk untuk beribadah bila berpuasa, atau setidaknya bila kita menjaga pemakanan kita daripada makan terlalu kenyang. Puasa mendekatkan diri pada Allah, Yang Maha Memberi Rezeki... Bila dalam keadaan lapar, kenanglah saudara seagama di negara lain yang tak cukup makan. Puasa membuat kita menginsafi diri yang jarang bersyukur.. Hati yang sakit, ubatnya kembali kepada Allah, dan dengan berpuasa, selangkah demi selangkah, kita mendekatiNya..

  • Mendampingi Orang Soleh
Rajinkanlah diri turun ke surau, menghadiri majlis ta'lim di masjid, supaya kita sentiasa dikelilingi orang-orang soleh. Bila kita berniat untuk berubah jadi baik, mesti Allah hadirkan insan-insan baik di sekeliling kita, bukan? Dan aura yang datang daripada golongan soleh ini mesti kita terkena tempiasnya... Nak ubat hati, niat saja tak mencukupi, usaha kena mengiringi, supaya terpelihara diri... InsyaAllah, bila mendampingi orang soleh, melihat wajah mereka saja mengingatkan kita akan Allah, apatah lagi bila berada bersama mereka, pastinya mereka akan sentiasa mengajak kita mencari redhaNya...

Moga-moga terubat hati kita ini.
Hati pinjaman Ilahi.

Selamat beramal.
Fi hifzillah :)

This entry was posted on . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response.

Leave a Reply