Jom Kejar Ukhuwah Till Jannah

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ 
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakaatuh..

Ana ajak diri serta jiwa-jiwa yang membaca, untuk sama-sama selami erti ukhuwah yang sejati atas dasar Ilahi. Ukhuwah, bila mana acapkali meniti di bibir, “Moga ukhuwah hingga ke Jannah, sahabatku...” 

Ana jentik diri dahulu, sebelum kata-kata ini menjentik jiwa lain. Kerana ana jua tak terlepas dari ketidaksempurnaan, lahiriah manusia memang tidak sempurna. Kadangkala ada ‘rasa’ yang merenggangkan tali ukhuwah.. Kadangkala terbit ‘bisikan’ yang perlahan-lahan menjarakkan persahabatan.. 

Atas sebab apa ia berlaku? Atas dasar apa ia berlanjutan? 
Sentiasa semak puncanya. 

Mungkin ada hikmah Allah pinjamkan hati ini.. Yang tak betah bila mana konflik wujud dalam kalangan sahabat. Ana akan terasa tempiasnya dengan sangat hebat. Walaupun bibir mampu tersenyum, sepasang mata yang sentiasa memerhati akan mewujudkan rasa hiba dalam hati, bila mana cita-cita ukhuwah hingga ke syurga itu semakin kabur...

Hati yang ikhlas tertaut dalam ukhuwah Lillahi Ta’ala, akan merasa sakit bila sahabatnya sakit dan akan merasa gembira melihat sahabatnya bahagia. Sungguh. 

Ana pegang prinsip ini sampai bila-bila, di mana sabar itu besar ganjarannya dan kemaafan itu indah kemanisannya. Dalam persahabatan, sabar dan maaf adalah kunci. Di mana sabar mengekalkan hati untuk sentiasa husnuzon, sedangkan memberi dan memohon kemaafan itu bukanlah tandanya menuding jari dan menyalahkan, mahupun mengatakan “Ya, aku betul dan engkau salah”. Bersahabat itu, bila mana mohonlah kemaafan walaupun kadangkala kita tahu kita benar, atas dasar menjernihkan keadaan dan menyambung tali ukhuwah yang kian renggang... 

Ana selalu dipersoal kerana terlalu banyak memohon kemaafan, walaupun tiada sebab untuk ana mengatakan sedemikian. Itu kata mereka. Namun ana lebih mengetahui, Allah Maha Mengetahui, di mana khilafnya hati dan bicara yang kadangkala mengguris tanpa ana sedari. Maafkan ana ya, sahabat...

Saat ini, mari refleksi diri. Kita ini diciptakan tidak sempurna, kerana yang sempurna itu mutlak milik Ilahi. Mari muhasabah diri. Mari kejar ukhuwah hingga ke syurga. Mari jernihkan mana yang keruh. Andai mahu ukhuwah hingga ke syurga, masakan dibiar terhenti kembara kerana sedikit ujian yang menguji ukhuwah antara kamu di dunia? Tidak bukan.

Alhamdulillah, yang keruh semakin jernih,
Sungguh, syukur syukur syukur!
Bahagia melihat senyuman mereka :’)

This entry was posted on . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response.

Leave a Reply