بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakaatuh...
Waktu ana menulis tentang sakit itu kaffarah dosa, ana tak sangka pula Allah akan hadirkan seorang insan untuk meminta bantuan ana. Allahu Allah. Diri tidak merasa layak untuk berkata lebih, kerana ana hanya diduga dengan ujian yang begitu sedikit. Ana hanya diuji dengan sakit biasa saja andai nak dibanding dengan golongan yang sedang bertarung nyawa di luar sana, andai nak dibanding dengan mereka yang sudah pulang ke pangkuan Ilahi. Ana tak layak. Tak layak untuk berkata. Namun, andai untuk berkongsi pandangan, ana usahakan, demi seorang insan yang Allah pertemukan melalui post ana sebelum ini.
Ujian sakit. Itulah antara tanda kasih Allah pada hambaNya. Bukan saja melalui nikmat, malah diselingkan dugaan, kerana sejujurnya, manusia lebih menghargai kemanisan setelah merasa pahitnya, lebih menghargai nikmat sihat setelah dihembus dengan dugaan sakit. Dan wahai hamba Allah, telusurilah firman Allah dalam surah Al-Baqarah...
Kerana itu ingatlah kamu kepadaKu nescaya Aku ingat kepadamu dan bersyukurlah kamu kepadaKu dan janganlah kamu mengingkariKu. [Al-Baqarah : 152]
" Dan sungguh akan Kami berikan ujian kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar. (Al Baqarah 2:155) "
Sedikit perkongsian...
Seorang yang sangat ana sayang, sudah kembali ke rahmatullah. Saudara yang ana panggil dengan gelaran ibu Ani, yang sering menjaga ana masa kecil. Kebergantungannya pada Allah sangat mengagumkan. Arwah cukup mendamaikan di mata ana... Walaupun sakit, ibadahnya tetap dijaga. Entah bila ana tahu tentang bypass surgery ibu Ani, namun saat ana tahu akan realiti yang ibu Ani tanggung, ana menjadi lebih kagum dengannya yang begitu tabah, lebih lagi senyuman yang tak lekang di bibirnya, aura cerianya yang menyejukkan hati insan sekeliling. Hingga saat akhir, ana dikhabarkan doktor bahawa arwah menghembuskan nafas terakhirnya pada waktu Subuh. Allah... Tatkala menaip, hati menjadi sebak. Terkenang Subuh itu, walaupun sudah lama berlalu, masih segar di minda. Berkejaran ke hospital, terkenang suaranya, senyuman terakhir pada hari sebelumnya... *tak dapat teruskan*
Setiap kesakitan itu, Allah penyembuhnya. Ubat dan rawatan itu ikhtiar, kebergantungan itu pada Allah. Andai Allah izinkan sembuh, nescaya akan sembuh juga. Bagi insan yang melihat, perit bukan? Namun ketahuilah, lebih perit yang menanggung. Bersabarlah... Sabar, ucapan yang mudah dituturkan, sukar dilaksanakan, namun begitu besar ganjarannya :') Redha atas ketentuan Ilahi. Berilah sokongan, setialah di sisinya. Salurkan kekuatan padanya melalui senyumanmu, meskipun begitu risau, sembunyikan dalam hati. Jadilah pendengarnya yang setia, saat duka dan tawanya. Khabarkan padanya bahawa sakit ini adalah sentuhan mahabbahNya... Pegang erat tangannya, niatkanlah moga Allah permudahkan segalanya. Tatap penuh kasih wajahnya, moga disebalik wajah yang tersenyum dalam kesakitan, akan terus teguh hatinya untuk redha atas suratan takdir. Zahirkan kekuatan agar insan yang menanggung turut terkesan dan terus kuat untuk menghadapi ujian dariNya. Inilah peranan kita, pemerhati sisi yang setia.
Kepada kakak insan tersebut yang tersayang, risau itu biasa. Bukankah saudara seagama, yang bersatu hatinya dalam tautan ukhuwah fillah, akan turut merasa sakit saudaranya? Andai dicubit paha kiri, paha kanan juga terasa sakitnya. Andai saudaramu sakit tenat, pasti sepanjang malam berjaga memikirkan saudaramu, tak betah rasanya hanya duduk termenung, pasti mahu dekat dengannya. Wahai kakak tersayang... Begitu sayang kamu pada adikmu... Doakanlah kesejahteraannya, kesembuhannya, moga Allah beri kekuatan pada adikmu... Allah sedang menguji ukhuwahmu, Allah sedang menghapus dosa kecilnya... Maka terus-menerus husnuzon pada Penciptamu.... Rahmatnya begitu luas tertebar di muka bumi ini... Moga Allah lindung kamu berdua... Innallaha ma'ana...
Allah bersama adikmu, kak...
Fi hifzillah :)